BPTV lawat sekolah kejuruteraan Indonesia



DALAM usaha untuk bertukar-tukar pengalaman, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) telah menganjurkan lawatan akademik ke dua buah sekolah vokasional di Indonesia yang dikenali sebagai sekolah kejuruan.
Dua buah sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kejuruan (SMK) Negeri 26, Rawamangun Jakarta dan SMK N29 STM Penerbangan Kebayoran Baru, Jakarta Selatan.
SMK N26 merupakan Sekolah Kejuruan Pembangunan manakala SMK N29 ialah Sekolah Kejuruan Baikpulih Penerbangan Industri.
Lawatan kerja itu diketuai oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Ahmad Tajudin Jab bersama-sama Timbalan Pengarah, pegawai kanan BPTV dan 36 Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) Sekolah Menengah Teknik, seluruh Malaysia.
Menurut Ahmad Tajudin, lawatan kerja itu bertujuan meninjau pelaksanaan sistem pendidikan vokasional di sekolah kejuruan di Indonesia.
``Kunjungan ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan kedua-dua negara,'' katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu kenyataan.
Beliau turut melahirkan hasrat untuk mempertimbangkan pelaksanaan program pertukaran guru antara SMK di Indonesia dengan SMV di Malaysia dalam usaha mempertingkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam mempertingkatkan kualiti pendidikan khusus bagi
pendidikan teknik dan vokasional di negara ini.
``Lawatan kerja ini telah memberi pendedahan berguna kepada semua peserta rombongan dari aspek pelaksanaan kurikulum, kokurikulum, pengurusan serta program pemantapan sahsiah pelajar,'' katanya.
Beliau berkata, peserta rombongan kagum dengan komitmen ahli alumni sekolah mereka yang sanggup kembali menabur bakti melalui sumbangan kewangan, fasiliti dan kepakaran kepada murid-murid yang sedang mengikuti pengajian di sana.
Ketika ini bilangan murid yang menyertai program vokasional di sekolah kejuruan adalah 50 peratus dan ia merupakan angka yang sangat tinggi, saasaran mereka adalah 70 peratus.
`` Ini membuktikan program vokasional sangat diminati di kalangan murid. Kebanyakan mereka akan terus bekerja selepas tamat pengajian di sekolah kejuruan,'' katanya.
Ahmad Tajudin berkata, pada masa ini penyertaan murid dalam pendidikan teknik dan vokasional di Malaysia masih rendah dan ia boleh ditingkatkan dalam Rancangan Malaysia
Ke-10.
``BPTV akan membuat perancangan yang rapi bagi tujuan ini dan memperluaskan program vokasional dan kemahiran ke sekolah harian biasa selain di SMT,'' katanya.

No comments: