DARI MEJA PENGARAH KOLEJ VOKASIONAL TEMERLOH
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Bidang pendidikan negara sedang dan akan terus mengalami perubahan secara dinamis menjelang abad ke-21. Ianya juga menjadi kunci utama untuk Malaysia mencapai status sebuah negara maju menjelang 2020. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang memayungi kita pada hari ini mempunyai peranan ke arah pencapaian wawasan 2020 iaitu Transformasi Pendidikan Vokasional, melahirkan lulusan seawal yang mungkin yang boleh menjana pendapatan tinggi dan yang paling utama adalah pendidikan vokasional sebagai aliran utama pendidikan negara. Situasi semasa inilah yang sedang kita alami sekarang dan tahun 2013 adalah pemula kepada transformasi vokasional. Dari Sekolah Menengah Vokasional Temerloh, kini telah menjadi Kolej Vokasional Temerloh. Transformasi yang dilaksanakan ini merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas bersama oleh kita warga Kolej Vokasional Temerloh. Siapa lagi yang akan menyahut transformasi ini jika tidak kita selaku warga Kolej Vokasional Temerloh yang akan mengangkat maruah pendidikan vokasional di mata masyarakat Malaysia.
Transformasi ini bukan sahaja akan menghapuskan stigma atau persepsi bahawa pendidikan vokasional adalah sebagai pilihan kedua selepas bidang akademik lain malah akan memberi satu laluan kerjaya pendidikan yang lebih jelas. Untuk mejadikan Kolej Vokasional Temerloh sebagai pilihan utama dan cemerlang dalam pelbagai aspek, pengorbanan dan usaha keras yang berterusan adalah paksi utama kita semua. Ianya bukanlah semudah yang disangka, namun komitmen para pensyarah amat saya kagumi yang ternyata sentiasa bijak merancang dan memainkan peranan proaktif bagi memastikan kita benar-benar bersedia dengan aliran transformasi baru ini.
Saya yakin, para pensyarah mampu melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh semangat dan iltizam yang tinggi. Kita ada amanah yang menanti, kecemerlangan SPM 2013 dan kemenjadian pelajar tahun 1 semester 1 Kolej Vokasional Temerloh. Oleh itu , diharapkan pada tahun 2013, Kolej Vokasional Temerloh ini akan terus kita pacu agar menjadi sebuah institusi pendidikan vokasional yang disegani bukan sahaja dalam aspek kurikulum, bahkan juga meliputi aspek kokurikulum dan kemenjadian pelajar sebagai menyahut hasrat kerajaan Malaysia bagi melahirkan para pelajar yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Harapan kita agar para pelajar kita akan sentiasa berada dihadapan dan mampu bersaing serta cekal sebagai pelajar Kolej Vokasional Temerloh. Saya amat yakin, warga Kolej Vokasional Temerloh sentiasa seiring dengan saya dan akan terus bersama-sama dengan saya dalam apa jua situasi.
Sekian, terima kasih.
FAUZI BIN ABDULLAH
Pengarah
Kolej Vokasional Temerloh
Program 5S BPTV : 6 SMV dan 2 SMT Peroleh Persijilan 5S
6 Sekolah Menengah Vokasional dan 2 Sekolah Menengah Teknik telah menerima Persijilan 5S daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Pengarah BPTV, Tuan Haji Ahmad Tajudin B Jab, mengucapkan tahniah kepada semua sekolah yang menerima Pensijilan 5S. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Sekolah Menengah Teknik Klang yang telah mendahului sekolah lain untuk menerima penganugerahan Sijil Persekitaran Berkualiti 5S daripada MPC, diikuti oleh SMV ERT Azizah, Johor Bahru dan pada 16 Disember, 6 buah sekolah serentak menerima pensijilan 5S.
6 buah SMV yang menerima penganugerahan Sijil Persekitaran Berkualiti 5S daripada MPC ialah SMV Keningau, Sabah, SMV Matang, Sarawak, SMV Pengkalan Chepa, Kelantan, SMV Bentong, Pahang, SMV Kluang, Johor dan SMV ERT Azizah, Johor Bahru. Sementara 2 buah SMT yang menerima pensijilan ini ialah SMT Kelang dan SMT Kuala Lumpur. Sektor Pembangunan Teknikal dan Vokasional (PPTV) di BPTV, KPM telah menerima tanggungjawab untuk melaksanakan Konsep 5S di semua sekolah teknik dan vokasional di seluruh negara. Amanah ini dilaksanakan oleh Puan Hajah Zalihar bt Abdul Ghani, Timbalan Pengarah BPTV bersama pasukannya iaitu Tuan Haji Mohamad Bin Samad, Encik Mohd Azly dan pegawai penyelenggaraan alat di 4 zon.
Dengan penganugerahan 8 buah sekolah ini, Puan Hajah Zalihar selaku Timbalan Pengarah PTV akan terus melaksanakan pembudayaan 5S ini kepada 40 buah SMT/V lagi pada tahun 2012.
Sektor Pembangunan BPTV akan mensasarkan sebanyak 28 SMV/T akan melaksanakan amalan 5S ini pada tahun hadapan. Pemantauan ke sekolah-sekolah dalam pelaksanaan ini akan terus dibuat dari semasa ke semasa untuk menjadikan persekitaran sekolah sentiasa kondusif dan berkualiti.
Pelancaran Transformasi Pendidikan Vokasional
Majlis pelancaran telah diadakan pada 6 Januari 2012 bertempat di German Malaysia Institut (GMI) Bangi, Selangor. Majlis telah disempurnakan oleh
Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional yang merangkumi lima strategi utama, lima inisiatif serta 11 tindakan bagi meningkatkan nilai pasaran kerja pelajar dan melonjakkan pendidikan vokasional agar setaraf dengan negara maju. Serentak dengan itu, sebanyak 15 sekolah menengah vokasional di setiap negeri dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional berkuatkuasa tahun ini (2012).
Melalui pelan transformasi tersebut, pendidikan vokasional di negara ini tidak lagi dianggap sebagai kelas kedua, sebaliknya ia menuju ke arah konsep pendidikan untuk semua dengan berasaskan program bercorak pekerjaan sebagaimana dilaksana negara maju.
Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.
Sempena majlis itu juga satu perjanjian persefahaman (MoU) antara Kementerian Pelajaran dengan 11 rakan strategik merangkumi pihak industri, agensi awam dan swasta, institut pengajian tinggi awam serta swasta telah ditandatangani.
Transformasi pendidikan teknik, vokasional
Ahmad Tajudin Jab (kanan) menyatakan sesuatu kepada pelajar SMK Rahmat pada sesi lawatan ke bilik darjah selepas merasmikan Minggu Teknik dan Vokasional di Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.
TRANSFORMASI dalam pendidikan teknik dan vokasional perlu dilakukan selari untuk melahirkan tenaga mahir dan separuh mahir menjelang 2015.
Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV), Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab berkata, pelajar perlu mempunyai kemahiran dan menjadikannya sebagai satu peluang kerjaya bergelar usahawan.
Menurutnya, pelajar yang mengambil mata pelajaran vokasional (MPV) tidak perlu merasa rendah diri kerana peluang mereka untuk menjana pendapatan begitu terbuka luas.
"Bidang pendidikan teknik dan vokasional di negara kita hanya 10 peratus berbanding negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Singapura yang mempunyai antara 40 hingga 60 peratus daripada pelajarnya menguasai kemahiran vokasional," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Minggu Teknik dan Vokasional bertemakan Teknik dan Vokasional - 1 Trasformasi Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat, Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.
Turut hadir Penolong Ketua Pengarah Pembangunan BPTV, Wan Aziz Megat Zainun, Penolong Ketua Pengarah Pengurusan Akademik, BPTV, Norrohani Othman, Ketua Unit Teknik dan Vokasional Jabatan Pelajaran Melaka, Karim Tumin dan Pegawai Pelajaran Daerah Alor Gajah, Kasim Mohamad.
Pada majlis tersebut Ahmad Tajudin turut melawat bengkel katering dan penyajian, bengkel landskap dan bengkel kemahiran hidup.
Terdahulu Pengetua SMK Rahmat, Zulkapli Othman dalam ucapannya berkata, beliau melahirkan rasa bangga dan bersyukur dengan kesudian Ahmad Tajuddin merasmikan program tersebut.
"Walaupun berdepan kekangan masa namun masih dapat meluangkan masa untuk hadir serta turun padang melihat sendiri keperluan sekolah di bawah bidang teknik dan vokasional," ujarnya.
Pengukuhan pendidikan negara
11 MAC - PESERTA Turki, Halil Ibrahim dinobatkan sebagai juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011 bagi kategori antarabangsa dan peserta dari Malaysia, Amirrudin Abd. Rahman pula muncul juara kategori nusantara. Hadiah disampaikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya.
KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) sepanjang 2011 telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membawa perubahan dalam bidang pendidikan sejajar dengan transformasi negara.
Inisiatif-inisiatif berterusan yang dilakukan ini dilihat telah berjaya membawa impak besar dalam usaha melonjakkan mutu dan kualiti pendidikan di Malaysia.
Usaha murni ini bertujuan untuk melahirkan modal insan yang dilengkapi dengan pelbagai kemahiran penting sebagai bekalan untuk mereka berhadapan dengan cabaran pendidikan semasa serta pengetahuan berguna bagi kerjaya di masa hadapan.
Antaranya ialah bantuan persekolahan bernilai RM2.5 bilion yang diagihkan kepada 16 Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan tujuh bahagian pengurusan sekolah di bawah KPM.
Selain itu, kerajaan turut memberi Anugerah Tawaran Baru sebanyak RM7,500 setiap seorang kepada guru besar dan pengetua yang telah berjaya membawa lonjakan kepada sekolah masing-masing.
Inisiatif Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) juga dilihat memberi impak besar kepada sistem pendidikan negara.
Selain itu, 40,000 guru turut diberikan latihan dan pendedahan menjadi jurulatih sukan di semua peringkat persekolahan bagi merealisasikan dasar 1Murid 1Sukan.
Kerajaan juga turut menyediakan wang bantuan persekolahan bernilai RM100 kepada kira-kira 5.5 juta pelajar sekolah sebagai wang bantuan khas awal persekolahan.
Sementara itu bagi 2011 juga menyaksikan satu transformasi di bawah Kemeterian Pengajian Tinggi apabila kerajaaan membuat keputusan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bagi membolehkan penuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang yang berusia 21 tahun ke atas menyertai parti politik.
Pindaan tersebut yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kebebasan hampir 500,000 penuntut dalam kelompok usia berkenaan untuk menjadi ahli mana-mana parti politik.
Keputusan itu dibuat bagi menghormati kematangan dan hak perlembagaan penuntut yang telah mencapai umur mengikut ketetapan undang-undang.
PENGURUSAN PERNIAGAAN
Kursus Pengurusan Perniagaan merupakan kursus yang menawarkan mata pelajaran Aplikasi Komputer dalam Perniagaan dan Perakaunan Perniagaan. Kursus ini melatih para pelajar untuk mahir dalam penggunaan komputer dan juga menggunakan aplikasi terkini di dalam pasaran untuk menjalakan perniagaan. Sebagai persediaan awal dalam usaha mengeluarkan tenaga kerja yang berketrampilan dalam bidang perniagaan, pendidikan diperingkat sekolah menengah menawarkan mata pelajaran Aplikasi Komputer dalam Perniagaan. Kurikulum yang disediakan berupaya membina murid yang berkemahiran, berilmu, berdisiplin dan bersedia untuk meneruskan laluan ke institusi pasca sekolah menengah dan juga laluan kerjaya yang bakal diceburi.
PENGURUSAN TEKNOLOGI PEJABAT
Kursus ini akan memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan pejabat perniagaan, pengendalian mel, menghasilkan dokumen pejabat, mengendalikan mesyuarat, pengurusan rekod dan fail serta susun atur pejabat.
Kursus ini mengandungi dua mata pelajaran; Aplikasi Komputer Dalam Perniagaan dan Teknologi Pejabat Perniagaan.
Matlamat kursus ini adalah untuk melahirkan murid yang berkemahiran dan berpengetahuan asas dalam aplikasi komputer untuk bekerja dalam bidang perniagaan serta melhirkan murid yang mahir mengurus sesebuah pejabat dan mampu mengendalikan pelbagai peralatan pejabat mengikut perkembangan teknologi semasa
PENYEJUKAN & PENYAMANAN UDARA
Kursus Penyejukan dan Penyamanan Udara menganjurkan latihan pengajaran dan pembelajaran untuk melahirkan tenaga berkemahiran khususnya dalam bidang penyejukan dan penyaman udara. Kursus ini menjalankan latihan teori dan amali untuk pelajar tingkatan 4 dan 5 untuk memeriksa, menservis dan membaiki mesin penghawa dingin dan peti sejuk.
MATLAMAT
Melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang penyejukan dan menanamkan sikap positif yang boleh digunakan untuk meningkatkan taraf hidup dan alam sekitar yang dapat memberi kesejahteraan insan.
OBJEKTIF
Objektif umum mata pelajaran Penyejukan adalah untuk membolehkan murid :-
Objektif 1 : mengamalkan peraturan dan langkah-langkah keselamatan semasa melakukan kerja penyejukan
Objektif 2 : menggunakan pelbagai alat tangan dan alat pengukuran dalam kerja penyejukan
Objektif 3 : melakukan kerja pematerian dan kimpalan, mengecas dan pendawaian pada sistem penyejukan
Objektif 4 : merombak rawat motor elektrik, alat kelengkapan dan aksesori sistem penyejukan
Objektif 5 : melakukan kerja pengujian pada pelbagai komponen / peralatan dalam sistem penyejukan
Objektif 6 : menerangkan prinsip kerja pelbagai sistem penyejukan dan mentafsir kitar penyejukan pada gambar rajah tekanan-entalpi
Objektif 7 : menggunakan pengetahuan lukisan geometri dan mengaitkannya dengan bidang kejuruteraan mekanikal
KIMPALAN & FABRIKASI LOGAM
Pelajar didedahkan dengan teknologi kimpalan gas dan arka. Meliputi pengetahuan dan pemahaman tentang fakta, konsep, prinsip, terminologi, proses dan prosedur amalan kerja kimpalan. Pelajar juga didedahkan dengan teknik melukis lukisan geometri. Kimpalan merupakan kaedah sambungan antara dua atau lebih logam yang penting yang sering digunakan di dalam bidang kejuruteraan hari ini terutamanya pada struktur-struktur bangunan, pelantar minyak, pembinaan kapal, industri automotif dan sebagainya.
Mata pelajaran diambil :
Teras1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Inggeris
3. Matematik
4. Sains Gunaan
5. Sejarah
6. Pendidikan Islam / Moral
7. Pendidikan Jsamani & Kesihatan
8. Sivik
Elektif
1. Kimpalan Arka
2. Kimpalan Gas
Teras1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Inggeris
3. Matematik
4. Sains Gunaan
5. Sejarah
6. Pendidikan Islam / Moral
7. Pendidikan Jsamani & Kesihatan
8. Sivik
Elektif
1. Kimpalan Arka
2. Kimpalan Gas
Objektif:
Mengetahui dan memahami tentang fakta, konsep / prinsip, terminology, proses dan prosedur dalam pelbagai kerja kimpalan arka.
Menggunakan pengetahuan dalam bidang kimpalan arka untuk membentuk pendapat yang rasional berhubung dengan masalah-masalah yang terdapat dalam bidang kimpalan.
Melahirkan minat dalam bidang kimpalan arka dan lukisan geometri serta dapat memenuhi kerjaya dalam bidang ini.
Memperkembangkan pemikiran kreatif menerusi aktiviti intelektual dan praktikal.
Menggunakan pelbagai peralatan kimpalan, pemotongan, aksesori dan alatan ujuan dengan berkesan.
Bersikap bertanggungjawab, bekerjasama serta mementingkan keselamatan diri sendiri dan insan lain.
Mampu menyelesaikan masalah berkaitan kimpalan mengikut tahap sukatan pelajaran.
Sukatan Pelajaran
MODUL 1 : KESELAMATAN AM DI BENGKEL KIMPALAN - Modul ini memberikan pelajar pendedahan terhadap punca-punca kemalangan yang mungkin berlaku dibengkel kimpalan dan menjuruskan pelajar kepada disiplin serta prosedur kerja yang betul dan selamat.
MODUL 2 : KIMPALAN ARKA ASAS - Modul ini mendedahkan pelajar kepada teori dan amali kimpalan arka asas tentang elektrik yang berkaitan dengan kimpalan arka, mesin-mesin kimpalan arka, elektrod yang digunakan, kaedah mengumai pendek dan panjang berterusan serta menilai kumai yang dihasilkan.
MODUL 3 : KIMPALAN ARKA PLAT DAN PAIP - Modul ini mendedahkan kepada pelajar secara teori dan amali teknik melaksanakan kimpalan arka ke atas plat ketebalan 6 hingga 9mm. untuk semua jenis sambungan kedudukan rata, menegak dan mengufuk. Modul ini juga menerangkan kaedah melaksanakan kimpal paip schedule 40 dan shedule 60 pada kedudukan 1G dan 2G dengan penekanan diberikan terhadap prosedur mengimpal dan peraturan keselamatan yang ditetapkan.
MODUL 4 : PEMOTONGAN LOGAM OKSI-ASITELINA-PLASMA - Modul ini memberikan kefahaman kepada pelajar tentang prosedur keselamatan ketika operasi pemotongan oksi-asetilena secara insani dan separa automatik, peralatan dan kaedah pemotongan dengan oksi-asetilena denganabetul. Modul ini juga mendedahkan pelajar kepada pemotongan plasma logam bukan feros mengikut prosedur yang ditetapkan.
MODUL 5 : BAHAN KEJURUTERAAN - Modul ini meliputi tajuk-tajuk yang berkaitan dengan bahan-bahan kejuruteraan yang biasa digunakan seperti logam dan bahan bukan logam dengan mengambil kira sifat-sifat kimia dan mekanikalnya serta rawatan haba keluli dan kepentinganya.
MODUL 6 : KIMPALAN MIG (METAL INERT GAS) - Modul ini meliputi tajuk yang berkaitan dengan prinsip, jenis mesin, kegunaan, kelebihan mesin kimpal MIG dengan penekanan diberikan secara teori dan amali untuk mengimpal plat pelbagai sambungan dalam kedudukan rata, menegak dan mengufuk.
MODUL 7 : UJIAN MUSNAH DAN TANPA MUSNAH - Modul ini meliputi tajuk yang berkaitan ujian yang dilakukan terhadap sampel sambungan kimpal yang telah dilakukan dalam menentukan kawalan mutu sesuatu kerja amali.
MODUL 8 : LUKISAN GEOMETRI - Modul ini mendedahkan pelajar kepada penggunaan pelbagai alat lukisan. Pelajar akan didedahkan kepada asas-asas lukisan geometri yang antara lain melibatkan pembinaan garisan dan sudut, penggunaan skala, pembinaan segitiga, poligon sekata, tangen dan bulatan dan elips, lukisan ortografik dan isometrik dan juga aspek-aspek kejurupelanan yang baik.
ELEKTRIK & ELEKTRONIK
Kursus ini berkaitan dengan pengetahuan dan kemahiran dalam teknologi, amali dan lukisan elektrik. Merangkumi amalan peraturan, prinsip pendawaian, penyambungan, pengujian dan penggunaan peralatan elektrik. Memberi pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar berkaitan prinsip dan kendalian litar-litar peralatan dan perkakasan elektronik audio, video, Radio dan TV. Pelajar juga didedahkan dengan teknik melukis lukisan geometri elektrik & elektronik. Kursus ini dibahagikan kepada dua mata pelajaran, iaitu Prinsip Elektrik dan Elektronik serta Aplikasi Elektrik dan Elektronik. Kedua-dua mata pelajaran ini diajar berpandukan Modul Pembelajaran yang disediakan oleh Bahagian Pendidikan Teknik & Vokasional (BPTV), Kementerian Pelajaran Malaysia. Murid dilatih menggunakan kaedah Competency Base Training Education (CBTE), di mana murid dinilai tahap kompetensinya secara berterusan berasaskan kriteria yang ditetapkan melalui Modul Pentaksiran yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Lembaga Peperiksaan akan mengeluarkan dua jenis sijil, iaitu sijil SPM yang akan memaparkan gred mata pelajaran berkenaan dan satu sijil khas Modul Kompetensi yang telah dicapai oleh murid.
Objektif :
1. Mematuhi dan mengamalkan peraturan keselamatan bengkel.
2. Mengetahui, memahami dan mengaplikasi prinsip, hukum, formula, terminologi, proses dan prosedur dalam kejuruteraan elektrik dan elektronik.
3. Mengenal pasti, mengguna dan menyenggara alat pengukuran dan pengujian dan elektronik.
4. Memahami, membina dan menguji litar elektrik dan elektronik berpandukan perincian yang diberikan.
5. Mengetahui dan memahami asas sistem berdigit dan aplikasinya.
6. Mengguna peralatan lukisan, membina dan membuat lukisan geometri.
BINAAN BANGUNAN
Binaan Bangunan adalah satu kemahiran yang penting dalam bidang pembinaan. Pendedahan peringkat awal amat penting khususnya bagi golongan pelajar yang cenderung dan berminat dalam bidang ini. Di peringkat menengah rendah pelajar didedahkan asas ketukangan dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup. Apabila pelajar meningkat ke tingkatan empat dan lima, mereka sudah di ambang kerjaya dan perlu diberi pendedahan yang sewajarnya bagi menentukan bidang pengkhususan tertentu yang terdapat di sekolah.
Dalam mata pelajaran ini pelajar didedahkan kepada bahan binaan seperti kayu, bata, konkrit dan kerja paip. Selain daripada aktiviti di bilik darjah, pelajar didedahkan juga kepada kerja amali di bengkel serta lawatan ke tapak bina bagi memperkukuhkan penguasaan dalam mata pelajaran ini. Pengetahuan yang diperoleh pada peringkat ini amat penting bagi pelajar kerana ia dapat menjuruskan mereka ke arah memilih bidang kerjaya yang bersesuaian dengan minat dan kecenderungan mereka selepas menamatkan pelajaran mereka di tingkaan lima.
MATLAMAT
Matlamat mata pelajaran Bahan BInaan ialah untuk melengkapkan pelajar dengan pengethaun dan kemahiran penggunaan bahan-bahan binaan dalam industri pembinaan.
OBJEKTIF
Objektif umum mata pelajaran Binaan Bangunan adalah untuk membolehkan murid :-
Objektif 1 | Mengenalpasti jenis kay tempatan dan pengkelasan kayu mengikut gred; |
Objektif 2 | Mengenalpasti dan memasang jenis barang logam dan kelengkapan serta bahan lain dalam binaan; |
Objektif 3 | Mengetahui jenis kemasan kayu dan kaedah aplikasinya; |
Objektif 4 | Memahami prinsip ikatan bata dan penggunaannya dalam bidang pembinaan bangunan; |
Objektif 5 | Membina tembok bata, pemasangan tetulang, pemasangan lapisan kalais lembap dan kerja kemasan dalam kerja bata; |
Objektif 6 | Mengetahui kegunaan konkrit dalam struktur binaan; |
Objektif 7 | Melaksankan ujian penurunan, menyediakan kiub dan membuat ujian kekuatan mampatan konkrit; |
Objektif 8 | Mengetahui pelbagai kerja kotak bentuk konkrit dan cara pembinaannya; |
Objektif 9 | Memahami sistem bekalan air domestik dan kaedah agihannya; |
Objektif 10 | Melaksanakan penyambungan kerja paip dan penggunaan alat tangan serta mesin mudah alih kerja paip; |
Objektif 11 | Mengenal pasti ciri-ciri peranan usahawan, agensi yang dapat membantu usahawan serta mematuhi prosedur penubuhan perniagaan dan seterusnya menyediakan rancangan perniagaan yang mudah berkaitan "bidang kursus" yang dipelajari dalam usaha melahirkan usahawan. |
AMALAN BENGKEL MESIN
Kursus Amalan Bengkel Mesin adalah merupakan pengabungjalinan antara subjek Pemesinan Berkomputer dan Amalan Bengkel Mekanikal. Subjek Pemesinan Berkomputer menyediakan latihan Lukisan Geometri, AutoCAD, Pengaturcaraan Mudah, Proses Mengisar Kawalan Berangka Berkomputer dan Proses Melarik Kawalan Berangka Berkomputer. Subjek amalan Bengkel Mesin ia merangkumi langkah keselamatan melibatkan teori dan amali dalam kerja menggegas, mengimpal dan kerja-kerja pemesinan. Selain dari mengikuti topik berkaitan dengan Kursus Amalan Bengkel Mesin, murid akan dilengkapkan dengan kemahiran penting yang lain melalui topik seperti keselamatan dan pengurusan bengkel.
Mata pelajaran ini dirancang untuk pelajar yang telah tamat pelajaran menengah rendah serta mempunyai minat dan kecenderungan untuk memasuki pekerjaan dalam bidang teknikal. Mata pelajaran ini juga disusun untuk memberi peluang bagi pelajar melanjutkan pelajaran dan latihan diperingkat yang lebih tinggi.
MATLAMAT
Melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang Amalan Bengkel Mekanikal dan menanamkan sikap positif yang boleh digunakan untuk meningkatkan taraf hidup dan memelihara alam sekitar yang dapat memberi kesejahteraan insan.
OBJEKTIF
Objektif umum mata pelajaran Amalan Bengkel Mekanikal adalah untuk membolehkan murid :-
Objektif 1 | mengetahui dan memahami tentang fakta, konsep/prinsip, terminologi dan prosedur dalam amalan bengkel mekanikal; |
Objektif 2 | menggunakan pengetahuan kejuruteraan mekanikal untuk membentuk pendapat yang rasional berhubung dengan masalah-masalah kejuruteraan mekanikal; |
Objektif 3 | memperkembangkan pemikiran kreatif dalam bidang pembuatan menerusi aktivti intelektual dan praktikal; |
Objektif 4 | menggunakan peralatan bengkel dan mesin dengan berkesan; |
Objektif 5 | melahirkan minat dalam bidang amalan bengkel mekanikal dan dapat memenuhi kerjaya dalam bidang ini; |
Objektif 6 | bersikap bertanggungjawab, bekerjasama serta mementingkan keselamatan diri sendiri, insan lain dan peralatan serta kelengkapan; |
Objektif 7 | mampu menyelesaikan masalah dalam bidang amalan bengkel mekanikal; |
Objektif 8 | Mengenal pasti ciri-ciri peranan usahawan, agensi yang dapat membantu usahawan serta mematuhi prosedur penubuhan perniagaan dan seterusnya menyediakan rancangan perniagaan yang mudah berkaitan "bidang kursus" yang dipelajari dalam usaha melahirkan usahawan. |
KURSUS AUTOMOTIF
Kursus Automotif menganjurkan latihan pengajaran dan pembelajaran untuk melahirkan tenaga berkemahiran khususnya dalam bidang automotif. Kursus ini menjalankan latihan teori dan amali untuk pelajar tingkatan 4 dan 5 melalui latihan memeriksa, menservis dan membaiki kenderaan. Mata pelajaran vokasional yang ditawarkan adalah Automotif Kenderaan dan Automotif Elektrik Diesel.
Mata Pelajaran Diambil (Automotif)
Teras1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Inggeris
3. Matematik
4. Sains Gunaan
5. Sejarah
6. Pendidikan Islam / Moral
7. Pendidikan Jasmani & Kesihatan
8. Sivik
Elektif
1. Automotif Kenderaan
2. Automotif Elektrik & Disel
Teras1. Bahasa Melayu
2. Bahasa Inggeris
3. Matematik
4. Sains Gunaan
5. Sejarah
6. Pendidikan Islam / Moral
7. Pendidikan Jasmani & Kesihatan
8. Sivik
Elektif
1. Automotif Kenderaan
2. Automotif Elektrik & Disel
Automotif Kenderaan
Objektif:
- Melakukan kerja-kerja merombak, memeriksa, menservis, membaiki dan mendiagnosis kerosakan sistem-sistem enjin dan kenderaan.
- Menggunakan alat uji elektronik dan alat kelengkapan bengkel secara optimum dan berkesan.
- Mampu menyelesaikan masalah kerja mengikut prosedur yang telah ditetapkan.
- Membuat keputusan yang tepat dan rasional semasa memeriksa, menguji, memperbaiki dan mengganti komponen kenderaan.
- Mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran bidang automatif dalam menguruskan kerja-kerja berkaitan dengan industri automotif.
- Menyemai sifat kerjasama, bertanggungjawab dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan diri dan insan lain.
- Memperkembangkan pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada bagi menyesuaikan diri di tempat kerja dan berupaya memperluaskan pengetahuan dan kemahiran seterusnya.
- Menggunakan pengetahuan lukisan geometri dan mengaitkannya dengan bidang kejuruteraan mekanikal.Automotif Elektrik dan DieselObjektif :
- Melakukan kerja-kerja menyurih litar elektrik, memeriksa, menservis dan membaiki sistem-sistem dalam kenderaan.
- Menggunakan alat-alat uji, penentukuran dan alat kelengkapan bengkel secara optimum dan berkesan.
- Mampu menyelesaikan masalah kerja mengikut prosedur yang ditetapkan.
- Membuat keputusan yang tepat dan rasional semasa menyurih litar, menguji, membaiki dan mengganti komponen dan pendawaian dalam kenderaan.
- Mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran bidang automotif dalam menguruskan kerja-kerja yang berkaitan dengan industri automotif.
- Menyemai sifat bekerjasama, sikap bertanggungjawab dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan diri dan insan lain.
- Memperkembangkan pengetahuan dan kemahiran yang sediaada bagi menyesuaikan diri di tempat kerja serta berupaya untuk memperluaskan pengetahuan dan kemahiran seterusnya.
- Mengenal pasti ciri-ciri dan peranan usahawan, agensi yang dapat membantu usahawan serta mematuhi prosedur penubuhan perniagaan dan seterusnya menyediakan rancangan perniagaan yang mudah berkaitan Automotif Elektrik dan Diesel yang dipelajari dalam usaha melahirkan usahawan.
Subscribe to:
Posts (Atom)